Tuesday 5 March 2013

indahnya kenangan.


        Embun yang menitis dari atap zink lusuh itu menimpa mukaku lantas menyedarkanku dari diulit mimpi indah..tersentak aku seketika.Perlahan-lahan kubuka mata mengintai di celahan dinding yang  sedikit renggang.Suasana di luar masih gelap. Di dapur kedengaran bunyi senduk  dan bau tumisan bawang menusuk ke hidung.Nasi goreng ikan masin.Terasa benar enaknya masakan mak.Itulah bekalku ke sekolah pagi nanti.     

      Selain itu ada ketikanya mak  buatkan cucur pisang atau kuih ketayap bersama air teh o yang diisi di dalam botol kaca. Sesekali ada juga mak masakkan pulut yang digaul dengan nyiur yang dikukur  dan ikan darat yang dibuat pekasam atau ubi kayu rebus. Alhamdulillah, itulah rezeki buat kami mengalas perut sebelum cerah membuka mata dan membawa haluan masing-masing.Mak dan bapa akan ke kebun dan aku pula menapak  di lorong celahan pokok getah dan belukar kecil untuk ke sekolah.
            
      Aku menggeliat ke kiri dan kanan. Ayam di reban sudah bersahut-sahutan dengan ayam di kampung sebelah...tak lama lagi azan subuh akan kedengaran dari surau hujung kampung.Kedengaran di hujung telinga suara mak memanggilku bangun.Setiap pagi, mak setia temankan aku untuk mandi, maklumlah telaga di tepi paya,gelap, semak, manalah aku berani keseorangan di pagi buta ini.Air telaga yang di kelilingi pokok renek dan berada di bawah pokok terap itu memang  jernih dan sejuk sekali.Menggigil aku dibuatnya.
                          
     Setiap kali menemaniku, pasti mak akan menjunjung satu tin minyak tanah air untuk dibawa pulang bagi kegunaan di dapur.Hebat makku, tin yang dijunjungnya tidak perlu dipegang,bagaikan ada tempat letak khas di atas kepalanya.Begitu juga kalau dia menjunjung kayu api, setiap kali balik dari kebun getah. Kayu-kayu itulah dijadikan bahan bakar untuk memasak makanan bagi kami sekeluarga,namun dapur mak bersih dan kemas.

        Kegelapan pagi masih mendakap kampungku. Kelihatan samar-samar lorong kecil yang akan ku lalui nanti. Meredah sejuk pagi dan kegelapan bukanlah suatu yang pelik bagiku. Aku terpaksa bergerak lebih awal supaya tidak terlewat sampai ke sekolah. Bertemankan simbahan cahaya lampu minyak tanah dari rumah-rumah jiran aku teruskan langkah, kadang-kadang berteman dengan anak-anak jiran, kadang-kadang sendirian. Aku cekalkan hati


  Balik dari sekolah, pastinya terus ke dapur.Perut yang berkeroncong minta diisi segera. Anak-anak ikan seluang goreng,udang bendang, ulam jantung pisang rebus dan air belacan dan kicap sudah cukup menyelerakan.Selalunya selepas makan ,mandi, solat, aku berehat seketika.Bila mentari berganjak ke petang, aku ke rumah sepupuku dan kami akan bermain bersama-sama.Oleh sebab rumah kami dikelilingi pokok-pokok getah, kami sering bermain dengan biji getah. Kami gunakan biji getah menggantikan guli. Biji getah itu juga kami gunakan untuk main congkak di bawah rumah. Kadang-kadang aku mengikut mak dan bapa ke bendang.Aku diajar mengerti kehidupan seorang petani. Aku diajar menyabut semai dan menanam, selebihnya aku berkubang di dalam selut atau mencari anak-anak ikan di gelong bendang.
               
Musim padi masak bagaikan hamparan permaidani kuning saujana mata memandang, aku ditugaskan menghalau burung-burung ciak(tempua) yang datang memakan padi.Bapa menggantung tin di serata petak bendang dan aku akan menarik talinya bila burung menghampiri. Maka berterbanganlah burung-burung itu kerana terkejut dik bunyi tin yang digoncang.Riuh bunyinya. Berterbangan kembali ke sarang yang bergantungan di pelepah kelapa di tepi bendang yang melambai-lambai bagaikan buaian .
Kagum aku dengan bentuk sarangnya.Kreatif. Allah Maha Penyayang.

 Aku juga diajar cara mengerat padi dan memukul padi ke dalam tong.Cara memasang layar pada tong juga bapaku ajarkan,katanya benda sebegini tidak ada dalam buku.Miang jerami sudah biasa bagiku.Selepas memukul padi, kerjaku membakar jerami,masa inilah aku mengutip bertih dari padi-padi yang tertinggal.Sedap.Paling aku suka ialah membuat serunai batang padi.Fuhh!.macam-macam bunyi akan didengar,bising mengalahkan riang-riang yang bertenggek di pohon rambai di tepi bendang.Aku juga diajar menampi,mengangin dan mengayak padi.Untungnya bila membuat bendang, beras tidak payah dibeli,tapi kena proses sendiri.Lesung kaki yang terletak di bawah bangsal buruk itulah tempat memprosesnya.Bukan mudah untuk menghasilkan beras daripada biji-biji padi.Padi perlu dianginkan,dijemur sampai betul-betul kering, barulah boleh ditumbuk.Kalau tidak, habis beras akan hancur dan nasinya nanti kurang sedap.

     Kampungku terletak di kawasan pedalaman. Pemandangannya cukup indah.Bendangku pula dikelilingi oleh bukit bukau dan pokok-pokok nyiur yang tinggi menyapu awan.Aku selalu menghiburkan emak dan bapaku semasa di bendang.Sambil berlari-lari di atas batas-batas bendang, aku menyanyikan lagu "Riwayat Petani' yang dinyanyikan oleh Fauziah Ahmad Daud persis dalam filem Ceritaku Ceritamu.Mak dan bapa tersenyum melihat telatah anaknya.Pacat dan lintah adalah mainan bagiku.Itulah anak petani kan?..

   Suasana malam di kampung sunyi dan kelam.Semua rumah hanya disinari oleh lampu dari pelita minyak tanah.Api dari pelita minyak tanah itu meliuk-liuk ditiup angin yang mencuri-curi masuk dari celah-celah dinding papan yang renggang.Cahayanya sekejap terang, sekejap suram.Dalam kesuraman cahaya itulah aku mengulangkaji atau menyiapkan kerja -kerja sekolah. Pelita itu perlu diletak jauh sedikit dari buku-buku. maklumlah kalau terlanggar pasti terbalik dan minyaknya akan tumpah.Busuk jadinya. Dalam menyiapkan kerja-kerja sekolah itu, kadang-kadang aku tertidur di depan buku-buku sampai  ke pagi.Pelita pulak kehabisan minyak kerana menyala sepanjang malam. Itu sudah menjadi perkara biasa bagiku sebab rumahku ketika itu tiada katil atau tilam empuk.Hanya sebiji bantal kekabu mengalas kepala dan sekeping tikar mengkuang mengalas belakang sudah cukup selesa untuk melelapkan mata berselimutkan sehelai kain gebar lusuh.Rumah kayu yang dipenuhi lubang-lubang angin memang sejuk dan selesa bertemankan  pula suara cengkerik ,katak dan burung tukang mengalunkan irama malam. Nyamuk sudah menjadi perkara biasa bagi kehidupan di desa.Rumahku dikelilingi oleh pokok-pokok getah, pisang dan nyiur.Pada musim kemarau banyak daun-daun getah yang luruh. Bapaku seorang yang rajin dan pembersih.Rumahku pernah digelar Hotel Bunga Raya kerana di sekeliling halaman rumahku ditanam pokok bunga raya. Setiap petang,dia akan menyapu dan membakar daun-daun itu.Jadi, asap itu akan menghalau nyamuk-nyamuk dari datang ke rumah.
     
Hari cuti hujung minggu memang dinantikan. Pada masa inilah dunia kanak-kanakku terisi sepenuhnya.Perihal sekolah dilupakan sementara.Selepas membasuh baju dan kasut sekolah,aku akan segera mendapatkan kawan-kawan.Pagi-pagi lagi sudah riuh di halaman rumah jiran yang sememangnya menjadi tempat kami berkumpul.Dari tuju kasut, tuju tin, guli.tuju getah semuanya menjadi aktiviti yang cukup menggembirakan. Menjelang tengah hari masing-masing balik ke rumah mencari rezeki mengalas perut. Bila mentari berganjak dari puncaknya, aktiviti kami bersambung lagi tapi kali ini lain pulak.Polis sentri, caplong atau lastik akan mengambil    alih. Tidak ketinggalan senapang kayu dengan buah terung pipit.Konon-kononnya askar dan komunis sedang bertempur.Tidak kira lelaki atau perempuan,berlari ke sana sini, berpeluh-peluh jadinya.Lasak betul kanak-kanak pada waktu itu.Tidak cukup dengan aktiviti itu, kadang-kadang kami ke sungai.Dalam perjalanan ke sungai kami melalui lorong yang dipenuhi belukar atau kebun orang kampung.Pada masa inilah, kami singgah mengutip buah-buah hutan seperti keriang, gemuyu, buah rembia,setol, keranji,sengkuang,kasai, mertajam, leletup,lemba dan banyak lagi.Selepas itu barulah menuju ke  sungai,berkelah dengan bekal masing-masing sebelum mandi manda.
Masa inilah kami akan mencari anak-anak udang di celah-celah batu atau berlawan menyelam.Ada juga kawan-kawanku yang penakut untuk mandi di tempat yang agak dalam.Satu cara penyelesaiannya ialah membuat gelembong menggunakan kain batik bagi menggantikan pelampung.Selalunya bila ke sungai kami akan ditemani oleh orang yang lebih dewasa.Maklumlah, kawasan sungai itu dikelilingi oleh pokok-pokok yang rimbun dan jauh dari rumah orang.Atuk selalu menggunakan peluang ini menemani kami.
Periuk dan cereknya yang hitam dijilat api dari dapur kayunya itu dibawanya sekali.Aku dan sepupukulah yang membersihkannya menggunakan pasir sungai yang halus sehinggalah berkilat jadinya.Upahnya tetap ada, atuk akan menjamu kami dengan nasi bila balik nanti berulamkan buah ara yang diambil dari pokok di tepi sungai tadi.Memang berselera makan selepas main air. Bila sudah kekenyangan, terlenalah pula.

       Bukan semua hari cuti hujung minggu menyeronokkan.Paling  aku tidak suka bila mak mengajak ke kebun, menemaninya mengutip getah sekerap.Pagi-pagi lagi mak sudah masakkan bekal nasi goreng kosong berlaukan ikan tamban kering dengan air teh.Kami meredah  kedinginan pagi melalui lorong di tepi belukar .Basah bajuku disimbah embun di hujung daun di kiri kanan jalan.Kami menyeberangi anak sungai dan mendaki bukit yang agak tinggi, barulah sampai ke destinasi.Penatnya tuhan yang tahu.Belum apa-apa air teh sudah habih setengah botol.Aku capai timba yang sudah buruk dan kemek itu, lalu mengekori mak  serapat yang mungkin untuk mengutip ketul-ketul sekerap di perdu getah.Apa tidaknya kebunku yang terletak di pinggir hutan tu memang semak dan menakutkan.Kesian mak dan bapa terpaksa bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anaknya. Melihatkan aku keletihan,mak mulalah membuka radionya.Dia selalu mengingatkan aku kalau hennak hidup senang dan selesa kena rajin belajar. Ilmu itulah satu-satunya cara untuk merubah kehidupan kita.Bukan senang hennak dapatkan duit, habis lenguh satu badan jadinya.Satu perkara lagi yang paling aku tidak suka semasa mak dan bapa aku buat getah keping.Aku selalu ditugaskan menolong mak dan bapa memulas mesin getah.Kena  mesin yang licin ,senyumlah aku tetapi bila kena mesin yang berbunga itu,aduhai....lenguhnya tangan.

    Musim buah-buahan paling menyeronokkan.Banyak 
pokok buah-buahan yang ditanam di sekitar rumah.Buah durian paling aku suka.Setiap hari aku akan membilang berapa banyak yang ada di atas pokok,kalau berkurangan bermakna buahnya sudah jatuh.Bijak tak aku?..Jadi di dahan itulah aku akan pergi untuk mencarinya.Pulut durian memang kegemaranku.Boleh dikatakan bila musim buah-buahan, pulut tanak sentiasa ada di dalam periuk.Satu lagi yang aku suka ialah buah manggis.Aku jarang sekali makan buah yang sudah jatuh atau mengait buahnya.Kalau hednak makan mestilah di atas pokok.Dahan pokok manggis yang banyak itu memudahkan aku untuk panjat.Lasak betul aku waktu itu.Seperkara lagi yang aku suka ialah mencari ikan laga atau di kampungku dipanggil ikan karin.Kebetulan telaga tempat kami sekeluarga mandi terletak di tepi paya atau bendang lama yang ditinggalkan.
Setiap kali ke telaga untuk membasuh pakaian atau mandi, pasti peluang itu tidak aku sia-siakan. Sementara menunggu mak membasuh pakaian, itulah kerja aku.Mana saja tempat yang buih berkumpul pastiku cedok.Tergodek-godek ikan karin minta dilepaskan.Minta maaflah ikan, tempatmu selepas ini pasti di dalam botol kaca.Selalunya tempat yang berbuih ikannya cantik dan warnanya menarik.Sudah banyak botol ikan -ikan itu aku letak  dan tersusun rapi di tepi dinding.Kadang-kadang sengaja aku letak ikan itu berdekatan .Ia mengembangkan siripnya seolah-olah hennak berlawan.Bukan niatku untuk melagakan ia, cuma sekadar melihat kecantiknnya sahaja.itulah sebahagian hiburan dunia kanak-kanakku. 
         Musim buah janggus paling aku idtak suka..setiap kali aku makan pasti batuk.Buah janggus ini ada dua jenis,satu yang warnanya merah dan satu lagi yang warna putih kekuningan,tapi ada satu perkara yang aku suka, iaitu masa hennak memasak bijinya. Kena ada cara dan kemahiran, kalau tidak habis jadi arang.Selalunya takung yang mak dan bapa aku guna untuk membuat getah keping itulah tempat bakarnya.Ranting-ranting kayu rambutan dan getah dijadikan bahan api.Sebaik sahaja api menyambar getah biji janggus, kena cepat-cepat kacau, lepas itu tuangkan takungnya .Riuh rendah bunyi semasa memadamkan api pada biji-biji janggus.Setelah sejuk barulah biji tadi diketuk.Enak benar isi biji janggus bakar.
    Seperkara lagi yang paling aku minat ialah melastik burung. Bagaikan seorang askar dengan senapangnya,begitulah aku dan kawan-kawan menyangkut lastik di leher masing-masing. Kalau tidak ada burung yang hendak dilastik, kami berlawan melastik pucuk kelapa. Siapa yang paling tinggi dialah juaranya. Pelurunya pula kami gentel tanah liat dari pongsu yang masih lembik.Tanah yang digentel bagaikan guli itu dijemur sampai kering.Barulah kuat. Biji getah atau guli juga boleh dijadikan peluru.Kalau susah sangat batu-batu kecil itulah pelurunya. Lelaki perempuan bermain bersama-sama tanpa ada apa-apa yang berlaku.Indahnya zaman itu....
   Bersambung...........