Tuesday 21 May 2013

permainanku dulu-dulu,,,

Petang itu cuaca masih panas.mentari masih menghembuskan bahangnya di celah-celah dahan pokok durian tok wan. Selepas meminta izin mak,  kaki yang hanya berselipar jepun lusuh itu,aku menapak ke halaman rumah Mak long. Ramai kawan-kawan ku sedang menunggu. kehadiranku disambut dengan kuntuman  senyum mesra dibibir mereka kerana mereka tidak cukup 6 orang untuk dibuat geng..Sebentar lagi halaman rumah mak long akan jadi riuh rendah dengan jerit pekik kami.
15 biji tin susu sudah bersusun rapi, tinggi melayut menunggu masa untuk dijatuhkan.Kertas yang di gumpal dan dibalut dengan plastik dan diikat dengan getah dijadikan bola.Duit syiling dua puluh sen dilambung.Ekor atau kepala akan ditentukan oleh ketua kumpulan.Sebelum itu, untuk memilih ahli kumpulan , kami membuat undian dengan berbisik. Setelah melantik ketua, 2 org ahli akan berbisik. ketua akan memilih satu daripada objek yang diberitahu contohnya ayam atau itik, bunga raya atau bunga melur bagi mewakili diri pemain.Andai kata itik yang dipilih,maka orang tersebut akan menjadi ahli kumpulannya. Kadang-kadang kami menggunakan osom..atau bahan-bahan semula jadi yang ada di persekitaran.Kreatif kan....

Selain tuju tin, kami juga sering bermain tuju kasut.Kasut selipar yang bertali silang itu mudah untuk di cantumkan.3 belah kasut akan digunakan sebagai menara kasut,seorang peserta hanya di beri peluang 3 kali sahaja. Balingan pula mesti berhati-hati.Jika balingan itu dapat ditangkap oleh pihak lawan... habis lah satu kumpulan akan kalah.Berpeluh-peluh lari mengelak diri dari di tuju. Kami jarang bergaduh sesama sendiri, semangat kesukanan amat tinggi.Sesekali kami akan bertukar ahli kumpulan supaya lebih seronok.

 Kalau musim guli pula, masing-masing akan membawa tin yang penuh dengan guli. Lelaki dan perempuan bermain bersama-sama. Ada pelbagai cara guli dimainkan.  Riuh rendah laman rumah mak long dengan suara-suara kami. Kadang-kadang ada yang menangis kerana gulinya habis dikalahkan. Sesiapa yang menang pasti gembira, apatah lagi duit pun dapat dari hasil jualan guli.  Selaluya 10 sen dapatlah 10 biji dapatlah yang kalah menyambung semula permainan. Asyiknya bermain hinggakan senja menjelang barulah kembali ke rumah masing-masing. Mak selalu pesan supaya balik ke rumah sebelum pukul 7 malam. Kalau lewat, nahas!.Betis pasti dijamah lidi penyapu.

Selalunya budak-budak perempuan akan main jala-jala itik.Merdu suara mereka apabila menyanyikan lagu itu. Saat yang paling seronok bila lawan mencuri anak. Riuh suara si ibu @ ketua mengawal anak-anaknya dari di rampas. Jemu bermain jala-jala kancil , mereka akan berehat di bawah pokok sambil bermain congkak menggunakan biji getah atau berlawan batu seremban(selambut). Budak-budak perempuan kurang lasak berbanding lelaki. Selalunya mereka bermain masak-masak atau bermain zero point di halaman rumah.



Permainan ketinting atau jengkek juga selalu jadi tumpuan.Tanah dilaman di garis menjadi kotak-kotak seperti helikopter. Batu atau kaca kecil digunakan sebagai objeknya.Masing-masing berusaha untuk mendapatkan rumah atau tempat bagi memudahkan pergerakan.
Ada pelbagai pergerakan dalam permainan ini yang perlu diatasi sebelum berjaya mendapatkan sebuah rumah idaman. Orang yang kalah, terpaksa lah meminta izin untuk tumpang lau ditepi rumah kawan. Bestkan, ada unsur tolak ansur , prihatin dan kasih sayang. Nilai-nilai murni tu...


Hidup di kampung memang banyak benda yang boleh dijadikan bahan mainan.Pokok-pokok pinang yang banyak di sekeliling kampung membekalkan upih yang banyak dan kuat.Ini juga dijadikan bahan mainan.
.Upih-upih itu dibuang daunnya dan dijadikan kereta tarik.Setiap orang akan memilih pasangannya sebelum acara dimulakan.Halaman rumah mak long memang tempat yang strategik. Lamannya yang luas dan rata serta teduh dikelilingi pokok-pokok buah-buahan cukup mendamaikan.Setelah melantik seorang pengadil acara sukaneka dimulakan.Lintang pukang upih diheret. Selalunya yang besar akan mengheret yang kecil.Riuh rendah bunyi sorakan dari kawan-kawan memberi semangat.Kadang-kadang orang tua juga tumpang bersorak untuk memberi semangat.Bukan ada hadiah pun disediakan cuma sekadar hiburan semata-mata.Tempurung kelapa juga sebahagian dari mainan kami.Tempurung jantan itu akan diikat dengan tali dan di kepit dicelah jari..Ala-ala memakai kasut tumit tinggi lagaknya.Bukan semua orang boleh berjalan dengan betul dan cepat menggunakan kasut tempurung ini.Silap-silap terpelecok jadinya...

Cuti penggal persekolahan adalah hari yang merdeka bagi budak-budak kampung sepertiku.Pelbagai agenda tersusun di dalam minda. Rumah yang dikelilingi pokok-pokok seperti bertam, buluh dan kelapa memberikan satu suasana yang cukup baik. Pagi-pagi lagi masing-masing berkumpul di rumah Tok Wan.Sebilah parang dan pisau sudah tersedia. pokok bertam dan buluh pasti menjadi mangsa.Batang bertam yang berduri itu di tebang dengan hati-hati.Batang itu kemudian dibuang daunnya dan diikat dengan akar.Begitu juga pokok buluh minyak yang tumbuh liar di dalam kebun.Ditebang , dikerat dan diikat.Batang bertam dan buluh itu kemudiannya dipikul dan diletakkan di bawah teduhan pokok cempedak di tepi laman rumahku.Bermulalah agenda pertama.Projek jebak burung.Selalunya burung kecil yang memakan dedalu itulah sasarannya selain burung merbah.Budak kampung katakan..lasak...

Tok Wan ku seorang yang rajin bercucuk tanam. Di sekeling rumah ada saja tanaman yang ditanamnya. Sebut saja apa yang nak semuanya ada. Ada sesuatu yang menarik di kebun tok wan. Abangku dan kawannya selalu kena marah dengan tok wan. Berbekalkan senapang papan yang diikat getah dihujungnya, mereka selalu berlakon seperti askar dan musuh. Akibatnya habis terung pipit(terung cheweng) di kebun tok wan dijadikan peluru senapang. Nak cari untuk dibuat ulam pun susah jadinya.Nakal betul abangku dan kawan-kawannya.Jemu dengan senapang terung cheweng, kami akan bermain cap plong.Buah cenerai yang banyak di sekelilng kampung dijadikan pelurunya. 
Bermulalah aksi tembak menembak. 
Berbuih mulut dengan macam-macam bunyi letupan mengalahkan medan perang. Buahnya yang masak pula dibuat makanan.selain cenerai,jambu batu, senduduk, guchil, mertajam semuanya boleh dijadikan makanan. Kata tok Wan, benda-benda tu semua ubat. Mungkin itulah sebabnya budak-budak dulu jarang kena penyakit. Tambahan pula selalu saja excercise dengan aktiviti lasak. Bak kata pepatah..sihat dan cergas.

Dedaun getah mula merubah warna kemerah-merahan.Itu tandanya musim kemarau sudah menjelma.Bendang-bendang juga sudah kering dan padi juga sudah dituai.Angin pula bertiup kencang. Ini lah masanya penduduk kampung berhibur. Menjelang petang penuh di atas batas bendang tak kira tua atau muda masing-masing membawa wau yang beraneka rupa. Sekejap sahaja langit mula berlagu.kelihatannya bagai burung-burung raksasa yang berterbangan.Pelbagai wau telah dinaikkan dan pelbagai bunyi kedengaran dari dengung yang di selit di wau masing-masing. Sungguh mengasyikkan. menjelang senja barulah wau-wau itu diturunkan. Meriah betul suasananya. 

Rindunya aku saat-saat itu.....Ingin rasanya kembali ke zaman kanak-kanak. Zaman penuh suka dan ria. Zaman tanpa masalah. Zaman tak mengenal erti penat dan letih. Zaman bahagia......nanti kita sambung lagi ye..dengan cerita lain pula...

*sekadar mengimbau masa lalu yang penuh nostalgia*





No comments:

Post a Comment